Sukan lasak seperti kenderaan pacuan empat roda ini sudah sering kedengaran dan diperkatakan ramai. Tahap kesabaran dan kerjasama yang tinggi amat diperlukan bagi melancarkan cabaran 4x4 ini. Bagi mereka yang meminati aktiviti sukan lasak atau masih belum mengalami sendiri pengalaman mencabar ini, pastikan ianya termasuk di dalam perancangan aktiviti lasak anda.
Cabaran kali ini bermula dari sebuah resort penginapan yang tersergam indah iaitu Teratak Riverview yang terletak di Ulu Bernam, Selangor. Resort ini bukan sahaja menyediakan pakej aktiviti lasak 4x4, malah turut menyediakan banyak lagi pilihan aktiviti seperti Paintball, aktiviti merentas halangan, kembara malam, rubber tubing dan aktiviti jatidiri.
Permulaan perjalanan akan dimulai dengan merentas Sungai Bernam yang agak deras dan dalam. Anda akan merasai sendiri perasaan cemas dan berdebar-bedar apabila kenderaan mulai memasuki sungai dan hampir separuh dari kenderaan berada di dalam air sungai yang deras itu. Dengan skil dan pengalaman yang tinggi, kenderaan akan dikawal dengan begitu tenang sehingga berjaya melepasi arus yang deras dan naik semula ke tebing sungai di seberang.
Sepanjang perjalanan ini juga anda akan disajikan dengan pemandangan yang tenang disulami dengan kehijauan alam sekeliling yang mendamaikan. Disini keseronokan mula dirasai apabila kenderaan tersebut mula melalui jalan tanah merah yang tidak rata, anak-anak sungai kecil serta dusun buah-buahan dikiri dan kanan anda.
Laluan yang agak lancar dan mudah ini akan berterusan selama kira-kira 1 jam sehingga tiba di sebuah lagi sungai yang agak lebar dan berarus deras dimana ini merupakan tempat biasa untuk mereka berhenti rehat seketika atau makan tengah hari sebelum meneruskan perjalanan yang lebih mencabar dari sebelum ini.
Setelah berehat seketika, kita akan memulakan perjalanan seterusnya yang lebih sukar dengan melalui laluan berlumpur, bukit yang cerun dan laluan sempit yang hanya cukup lebar untuk sebuah kenderaan saja dan tidak ada ruang sedikit pun di kiri dan kanan kenderaan. Hanya kecekapan para pemandu akan memastikan setiap kenderaan dapat melepasi halangan-halangan ini dengan lancar dan selamat. Namun yang demikian, terdapat juga kenderaan yang terkandas akibat tersangkut pada lumpur yang dalam, batu dan lain-lain halangan. Disini kita akan dapat melihat bagaimana mereka menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu rakan-rakan pasukan supaya melepasi halangan tersebut. Aktiviti ini bukan hanya sekadar minat atau sebagai pengalaman sendiri, tetapi juga dapat melatih diri mengenai kelebihan apabila bila berkerjasama dalam melakukan sesuatu perkara.
Gembira kerana berjaya melepasi halangan sebentar tadi, kini kita akan diuji pula dengan laluan cerun yang sempit dan licin yang dikatan antara laluan paling sukar sepanjang perjalanan menuju air terjun lubuk kawah. Laluan ini memerlukan gabungan teknik pemanduan juga peralatan-peralatan khas seperti 'cable winch' yang akan dicangkukkan kepada struktur yang kukuh seperti batang pokok , kenderaan 4x4 lain yang berada di hadapan dan sebagainya. Alat ini yang beroperasi menggunakan sebuah motor elektrik yang mampu menarik beban sehingga 3 tan kemudiannya akan menarik kenderaan pacuan 4 roda ini ke atas dengan perlahan-lahan.
Disini ramai yang akan mula berasa keletihan akibat laluan yang sukar dan mencabar ini ditambah pula dengan keadaaan persekitaran yang lembab dan berlumpur. Namun setibanya di satu kawasan lapang, kesemua kenderaan 4x4 ini akan meletakkan kenderaan mereka secara tersusun dan semua yang turut serta diminta turun dari kenderaan. Setelah semua enjin kenderaan dimatikan, jelas kedengaran bunyi desiran air terjun yang membuatkan semua terdiam seketika dan ada juga yang keletihan tiba-tiba menjadi seperti bertenaga semula. Itulah kuasa semulajadi yang sukar untuk diperkatakan dengan kata-kata.
Melihat kejernihan air dan kenyamanan udara di situ membuatkan semua keletihan dlm perjalanan tadi hilang begitu sahaja, anda pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menyegarkan semula badan dengan bermandi manda gi air terjun lubuk kawah yang terdiri daripada beberapa tingkat air terjun yang sangat dingin dan jernih airnya. Berbagai aksi dapat dilihat menggambarkan betapa gembiranya mereka-mereka yang berasa disini. Dugaan dan cabaran-cabaran yang dilalui sepanjang perjalanan masuk seolah-olah sudah dilupakan begitu sahaja.
Setiap yg bermula pasti ada akhirnya, lubuk kawah yang cantik dan mendamaikan minda terpaksa ditinggalkan walaupun hati dan kaki berat melangkah meneruskan perjalanan pulang ke Teratak Riverview Resort sebelum hari gelap.
Pastinya, pengalaman menyertai cabaran kenderaan pacuan 4 roda amatlah berharga dan lain daripada yang lain dan tidak akan mudah dilupakan dan kami pasti akan kembali untuk cabaran yang lebih mencabar.
0 comments:
Post a Comment